Isnin, 28 Januari 2013

Bahasa Basahan




Menurut kamus dewan edisi keempat (2008:106), bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Bahasa basahan pula bermaksud bahasa yang digunakan dalam percakapan hari-hari (iaitu bahasa kolokial). Oleh itu, bahasa ini tidak mementingkan unsur tatabahasa yang betul kerana ia lebih mementingkan kefahaman antara penutur dan pendengar. Za'ba menggelarkan bahasa ini sebagai bahasa cakap mulut. Hal ini demikian kerana bahasa basahan sering digunakan untuk berinteraksi dengan rakan kenalan atau ahli keluarga dan lebih bertujuan untuk bertanyakan khabar, bergosip, bercerita ,berjual beli dan sebagainya. Selain itu, bahasa ini dituturkan di tempat-tempat yang tidak rasmi seperti di rumah, kedai, pasar dan sebagainya. Amat Juhari Moain dalam Sosiolinguistik (2010:58) menyatakan bahawa bahasa pasar juga tergolong dalam bahasa basahan kerana bahasa ini sering digunakan dalam urusan harian dan wujud campuran unsur-unsur bahasa lain dari segi kosa kata, sebutan dan ungkapan. Antara contoh bahasa basahan adalah seperti kenapa, macam mana, tah, nak, ambik  dan sebagainya. 


Terdapat beberapa ciri yang menjadikan sesuatu bahasa itu dianggap sebagai  bahasa basahan iaitu penggunaan kolokial ini dapat mewujudkan kemesraan antara pengguna dengan menggunakan penanda-penanda mesra seperti singkatan pada nama dan kata-kata tertentu seperti kan dan dah sebagai contoh, “sue dah makan, tapi kan sue tak kenyang lagi” .Selain itu bahasa basahan ini disampaikan secara lisan iaitu wujud hubungan secara terus menerus antara penutur dan pendengar dengan menggunakan perkataan yang ringkas dan tidak mengikuti ejaan sepenuhnya, tetapi pendengar dapat memahaminya. Apabila penutur dan pendengar datang dari tempat yang sama maka penggunaan dialek akan wujud dalam bahasa kolokial tersebut seperti contoh ayat “depa mai tang mana” (dalam dialek kedah). Bahasa ini sering memendekkan kata serta menggugurkan bahagian-bahagian tertentu dalam ayat manakala imbuhan pula sering ditinggalkan sebaliknya ia digantikan dengan unsur-unsur isyarat dan gerak geri untuk difahami oleh pendengar. Oleh itu, penggunaan tatabahasa yang gramatis tidak begitu dipentingkan dalam bahasa kolokial. Kod yang pelbagai sering digunakan dalam bahasa kolokial disebabkan setiap lapisan masyarakat terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Seterusnya, bahan yang diperkatakan seperti tajuk perbualan meliputi perkara-perkara ringan serta mudah difahami. Hal ini berlaku kerana pengguna bahasa ini sering berjumpa dan telah wujud perasaan kemesraan antara mereka. Oleh itu, ia tidak digunakan dalam tulisan atau ucapan rasmi. 


Sebagai kesimpulan, bahasa basahan amat sesuai untuk digunakan sebagai bahasa yang digunakan oleh masyarakat untuk berinteraksi dan menjalankan aktiviti sehari-harian. Bahasa ini tidak sesuai untuk digunakan dalam urusan rasmi seperti yang ditegaskan oleh Awang Sariyan dalam Ceritera Bahasa:


kita mungkin dapat menyatakan bentuk bahasa basahan yang meresap masuk ke dalam bahasa rasmi. Namun peresapan bentuk bahasa basahan ke dalam bahasa rasmi tidaklah dapat dianggap sesuatu yang wajar.”

                                                                                            ( Prof. Awang Sariyan, 2002:103).


Oleh itu, setiap pengguna bahasa perlu berdisiplin dan melatih diri menggunakan bahasa yang betul mengikut situasi yang bersesuaian sama ada situasi tersebut rasmi atau tidak rasmi.


1 ulasan: