Menurut kamus dewan edisi keempat (2008:106), bahasa
ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam
lingkungan satu kelompok manusia. Bahasa basahan pula bermaksud bahasa yang
digunakan dalam percakapan hari-hari (iaitu bahasa kolokial). Oleh itu, bahasa
ini tidak mementingkan unsur
tatabahasa yang betul kerana ia lebih mementingkan kefahaman antara penutur dan
pendengar. Za'ba menggelarkan bahasa ini
sebagai bahasa cakap mulut. Hal ini demikian
kerana bahasa basahan sering digunakan untuk berinteraksi dengan rakan kenalan
atau ahli keluarga dan lebih bertujuan untuk bertanyakan khabar, bergosip,
bercerita ,berjual beli dan sebagainya. Selain itu, bahasa ini dituturkan di
tempat-tempat yang tidak rasmi seperti di rumah, kedai, pasar dan sebagainya.
Amat Juhari Moain dalam Sosiolinguistik
(2010:58) menyatakan bahawa bahasa pasar juga tergolong dalam bahasa basahan
kerana bahasa ini sering digunakan dalam urusan harian dan wujud campuran unsur-unsur
bahasa lain dari segi kosa kata, sebutan dan ungkapan. Antara contoh bahasa
basahan adalah seperti kenapa, macam mana, tah, nak, ambik dan sebagainya.
Terdapat
beberapa ciri yang menjadikan sesuatu bahasa itu dianggap sebagai bahasa basahan iaitu penggunaan kolokial ini
dapat mewujudkan kemesraan antara pengguna dengan menggunakan penanda-penanda
mesra seperti singkatan pada nama dan kata-kata tertentu seperti kan dan dah sebagai contoh, “sue dah
makan, tapi kan sue tak kenyang lagi” .Selain itu bahasa basahan ini disampaikan
secara lisan iaitu wujud hubungan secara terus menerus antara penutur dan
pendengar dengan menggunakan perkataan yang ringkas dan tidak mengikuti ejaan
sepenuhnya, tetapi pendengar dapat memahaminya. Apabila penutur dan pendengar
datang dari tempat yang sama maka penggunaan dialek akan wujud dalam bahasa
kolokial tersebut seperti contoh ayat “depa
mai tang mana” (dalam dialek kedah). Bahasa ini sering memendekkan kata
serta menggugurkan bahagian-bahagian tertentu dalam ayat manakala imbuhan pula
sering ditinggalkan sebaliknya ia digantikan dengan unsur-unsur isyarat dan
gerak geri untuk difahami oleh pendengar. Oleh itu, penggunaan tatabahasa yang
gramatis tidak begitu dipentingkan dalam bahasa kolokial. Kod yang pelbagai
sering digunakan dalam bahasa kolokial disebabkan setiap lapisan masyarakat
terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan. Seterusnya, bahan yang
diperkatakan seperti tajuk perbualan meliputi perkara-perkara ringan serta
mudah difahami. Hal ini berlaku kerana pengguna bahasa ini sering berjumpa dan
telah wujud perasaan kemesraan antara mereka. Oleh itu, ia tidak
digunakan dalam tulisan atau ucapan rasmi.
Sebagai kesimpulan, bahasa
basahan amat sesuai untuk digunakan sebagai bahasa yang digunakan oleh
masyarakat untuk berinteraksi dan menjalankan aktiviti sehari-harian. Bahasa
ini tidak sesuai untuk digunakan dalam urusan rasmi seperti yang ditegaskan
oleh Awang Sariyan dalam Ceritera Bahasa:
“kita mungkin dapat menyatakan bentuk bahasa basahan yang meresap masuk
ke dalam bahasa rasmi. Namun peresapan bentuk bahasa basahan ke dalam bahasa
rasmi tidaklah dapat dianggap sesuatu yang wajar.”
( Prof. Awang Sariyan, 2002:103).
Oleh itu, setiap pengguna
bahasa perlu berdisiplin dan melatih diri menggunakan bahasa yang betul
mengikut situasi yang bersesuaian sama ada situasi tersebut rasmi atau tidak
rasmi.
oooo
BalasPadam